Bengkel Pembinaan Permainan Interaktif Melalui Scratch 3.0



Pada 9 Disember 2024, Bengkel Pembinaan Permainan Interaktif Melalui Scratch 3.0 telah diadakan secara dalam talian melalui platform Google Meet. Bengkel adalah bengkel kedua di bawah Program 100 saintis, 100 sekolah dan 100 hari (STI 100^3) 2024 hasil inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Bengkel ini bertujuan memberikan pendedahan asas kepada pelajar sekolah rendah tentang pengaturcaraan serta membina permainan digital yang interaktif dan kreatif menggunakan Scratch 3.0. Program ini disampaikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Nor Hakimin Bin Abdullah dari Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, UMK, yang berkongsi panduan serta teknik pengaturcaraan secara interaktif.  


Sepanjang bengkel, pelajar diperkenalkan kepada fungsi asas Scratch 3.0 termasuk cara menggunakan blok pengaturcaraan dan mencipta sprite. Aktiviti utama melibatkan panduan langkah demi langkah untuk membina permainan digital seperti "Tangkap Epal dan Elak Kelawar" dan "Basketball Chase." Pelajar turut diberi peluang untuk membentangkan hasil projek masing-masing, di mana mereka menerima maklum balas langsung daripada penceramah. Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi turut membantu mereka memahami konsep asas pengaturcaraan dengan lebih mudah.  


Secara keseluruhannya, bengkel ini telah berjaya mencapai objektifnya dalam memperkenalkan asas pengaturcaraan dan membina minat pelajar terhadap STEM. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan di masa hadapan untuk melahirkan generasi muda yang celik teknologi, kreatif, dan berdaya saing dalam era digital.  

Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pendidikan Malaysia, bersama agensi penggerak Young Scientists Network - Academy of Sciences Malaysia (YSN-ASM), rakan kerjasama Malaysia Board of Technologists, MBOT Student Chapter @ Universiti Malaysia Kelantan (Rasmi), dan Pejabat Pendidikan Daerah Jeli (PPD Jeli) dalam menjayakan Program STI 100³ ini.


Comments

Popular posts from this blog

Bengkel Gamifikasi STEM Melalui Scratch 3.0 dan Microbit

TNBEV @ TechnoInnovation Expo 2024 (TIE 2024)